Pengerusi PAC tetap daripada pembangkang, kata PH


Mesyuarat itu dipengerusikan Anwar Ibrahim yang berlangsung di ibu pejabat PKR, hari ini. – Gambar Facebook, 7 Januari, 2023.

MESYUARAT Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju meneruskan dasar lantikan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) daripada blok pembangkang.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata kaedah itu membawa hasil yang positif dari segi semak dan imbang pentadbiran kerajaan.

“Waima sewaktu PH mentadbir (sebelum ini), kita lihat bila pengerusi PAC daripada pihak pembangkang, ia memberi fokus kepada proses semak imbang, urus tadbir dan tata kelola,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun katanya belum ada perbincangan dengan pihak pembangkang berhubung perkara itu.

Menteri Komunikasi dan Digital itu juga berkata terpulang kepada jawatankuasa berkenaan untuk melakukan siasatan berhubung isu-isu berbangkit sebelum ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu turut membincangkan mengenai cadangan sesi jawab lisan perdana menteri di sidang Parlimen.

Sementara itu, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan mesyuarat hari ini tidak membincangkan secara spesifik kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebaliknya beliau berkata mesyuarat itu pada umumnya membincangkan persiapan PRN dari sudut gabungan itu sahaja termasuk usaha membentuk segera atau mengaktifkan semula jawatankuasa pilihan raya PH.

“Belum sampai ke situ (keputusan kerjasama) sebab jawatankuasa pilihan raya akan buat beberapa persiapan dahulu barulah diukur langkah yang munasabah.

“Paling penting adalah fokus mempertahankan tiga negeri milik PH sekarang iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang yang umumnya pimpinan utama PH meletakkan keyakinan tinggi berdasarkan laporan semasa,” katanya.

Menurutnya PH juga berpeluang menang di Kedah selain bertekad untuk menghantar suara pembangkang yang kuat di Kelantan dan Terengganu. – Bernama, 7 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen