Lawatan Anwar ke Jakarta beri impak besar hubungan Malaysia-Indonesia


Anwar ke Indonesia atas jemputan Presiden Indonesia Joko Widodo. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2023.

LAWATAN rasmi julung kali Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Jakarta dari 8 hingga 9 Januari ini akan memberi impak besar kepada hubungan antara kedua-dua negara serta meneroka peluang kerjasama baharu, kata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata lawatan dua hari itu atas jemputan Presiden Indonesia Joko Widodo yang merupakan lawatan rasmi ke luar negara pertama sejak Anwar menyandang jawatan perdana menteri pada 24 November lepas.

“Tujuan utama lawatan ini untuk mempertingkatkan hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia. Perdana menteri dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Bogor pada 9 Januari,” katanya dalam sesi pembuka tirai sempena lawatan Anwar ke Indonesia, di Sepang hari ini.

Zambry berkata mesyuarat antara kedua-dua pemimpin akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

Beliau berkata lima isu utama akan dibincangkan antaranya kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara, strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian (chairmanship) ASEAN oleh Indonesia pada 2023.

Katanya sebanyak lapan memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, Zambry berkata satu majlis penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara juga akan diaturkan, bagi menyatakan hasrat Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk pembangunan IKN Nusantara.

“Kita melihat pembangunan IKN yang sedang rancak membangun di Indonesia tentu akan memberi peluang kepada Malaysia khususnya bagi Sabah dan Sarawak, untuk mendapat manfaat dari pembangunan itu. Ini merupakan peluang baharu yang perlu dibincang bersama dan salah satu perbincangan antara kedua-dua pemimpin negara, akan berkisar dalam konteks pembangunan di IKN Nusantara,” katanya.

Zambry berkata semasa lawatan itu, Anwar juga dijadualkan untuk menyampaikan satu syarahan umum berkenaan ‘Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia’ dan akan mengambil peluang untuk beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Jakarta.

Beliau berkata Indonesia merupakan rakan dagang global ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM95.31 bilion (AS$22.98 bilion) pada 2021.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga November 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus dengan jumlah RM120.26 bilion. – Bernama, 7 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen