Hajiji masih ketua menteri, kata setiausaha agung GRS


Haji Hajiji Noor masih ketua menteri Sabah, kata Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2023.

DAKWAAN Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa Ketua Menteri Hajiji Noor tidak lagi menjawat jawatan itu selepas meninggalkan Bersatu tidak mempunyai asas perundangan, kata Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkannya, beliau berkata, Hajiji dilantik dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan gabenor Sabah adalah berpelembagaan.

Ia dikeluarkan selepas Bung malam tadi berkata Hajiji tidak lagi layak memegang jawatan ketua menteri menurut Perkara 6 (3) dan 6 (7) Perlembagaan Sabah.

“Menurut Perlembagaan Sabah, ketua menteri perlu dipilih daripada parti yang memegang (kerusi) majoriti. Dia (Hajiji) tidak ada parti, dia berada di bawah GRS, yang merupakan gabungan besar pelbagai parti,” kata Bung. 

Masidi bagaimanapun menolak hujah ini, berkata tidak ada parti yang menang lebih 50% daripada 72 kerusi di Sabah.

“Maka kerana itu, berdasarkan tafsiran Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri dikeluarkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, Tuan Yang Terutama (TYT) melihat tidak ada satu parti yang menang lebihb 50% kerusi negeri dan dengan itu secara tepat menganggap Perkara itu tidak boleh digunapakai.”

Tambah Masidi, “majoriti” untuk tujuan tafsiran Perkara 6 (7) bermaksud lebih 50% kerusi dewan undangan negeri.

“TYT kemudiannya secara wajar dan tepat menggunakan kuasanya di bawah Perkara 6 (3) dan melantik Haji Hajiji Noor sebagai ketua menteri.”

Tindakan Barisan Nasional Sabah keluar daripada kerajaan negeri juga tidak menyebabkan tumbangnya kerajaan, kata Masidi lagi.

Beliau mengingatkan yang wakil rakyat daripada Bersatu yang keluar parti itu tahun lepas kini bersama GRS.

“Lebih daripada cukup untuk membentuk majoriti dan GRS adalah parti politik terbesar di Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.

Malam tadi, Bung Moktar berkata beliau akan memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang keputusan BN meninggalkan GRS.

Beliau tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Warisan selepas ini.

“Kami boleh bekerja dengan mana-mana parti selagi mana mereka ikhlas,” katanya.

DUN Sabah mempunyai 79 wakil rakyat, 73 adalah adun dipilih menerusi pilihan raya dan enam lagi adun dilantik.

Dengan penarikan sokongan Umno dan BN Sabah, kerajaan negeri diterajui Hajiji kini mempunyai sokongan 41 Adun- 29 daripada GRS, tujuh daripada Pakatan Harapan, tiga daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan masing-masing seorang daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Manakalan Warisan mempunyai 19 kerusi dan PAS, satu kerusi. – 7 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen