Hajiji sudah tiada sokongan majoriti, kata KDM


KDM, Umno dan Barisan BN Sabah malam tadi menarik sokongan kepada Pengerusi GRS Hajiji Noor. – Gambar Facebook, 7 Januari 2023.

TIGA Adun daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) percaya Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai ketua menteri.

Presiden KDM Peter Anthony berkata perkara itu merujuk kepada Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan ketua menteri sebagai ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Seterusnya, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Adun Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu katanya, KDM menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin untuk memutuskan pelantikan ketua menteri baharu berdasarkan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

DUN Sabah mempunyai 79 Adun iaitu 73 Adun yang dipilih dan enam Adun dilantik.

Dengan tindakan KDM, serta Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan malam tadi, kerajaan Sabah diterajui Hajiji hanya mempunyai sokongan 38 Adun iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh), dan masing-masing seorang Adun daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Parti Warisan mempunyai 19 kerusi, BN (18), KDM (3) manakala PAS satu kerusi. – Bernama, 7 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen