Bekas penyerang Itali, Chelsea Gianluca Vialli meninggal dunia


Gianluca Vialli meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat kanser pankreas pada Khamis. – Gambar AFP, 7 Januari 2023.

BEKAS penyerang Itali, Juventus dan Chelsea, Gianluca Vialli meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat kanser pankreas pada Khamis, menurut Persekutuan Bola Sepak Itali.

Vialli yang meneruskan kerjaya sebagai pengurus Chelsea, didiagnosis pertama kali menghidap kanser pankreas pada 2017 dan bebas daripada penyakit itu pada 2020 selepas menerima rawatan di Royal Marsden Hospital di London.

Beliau bagaimanapun didiagnosis sekali lagi dengan penyakit itu pada 2021 dan pada bulan lepas meletakkan jawatan sebagai ketua delegasi pasukan kebangsaan Itali, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Persekutuan Bola Sepak Itali berkata semua perlawanan di bawah persekutuan itu yang diadakan hujung minggu ini akan dimulakan dengan bertafakur seminit sebagai penghormatan kepada Vialli.

Presiden Persekutuan Gabriele Gravina dalam satu kenyataan berkata: “Gianluca seorang yang hebat dan kehilangannya sukar diganti. Pasukan kebangsaan dan kami semua menghargai jasanya selama ini.”  – Bernama, 7 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen