Belgium ketat undang-undang intipan, campur tangan asing


Menteri Kehakiman Belgium Vincent Van Quickenborne sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan proses membuat keputusan demokratik untuk merosakkan kepentingan negara itu akan didakwa. – Gambar EPA, 7 Januari 2023.

BELGIUM merancang mengetatkan undang-undang sedia ada terhadap pengintipan dan campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara dan organisasi antarabangsa negara itu, lapor Sputnik memetik kenyataan Menteri Kehakiman Vincent Van Quickenborne pada Khamis.

“Dalam konteks geopolitik hari ini, tindakan pendakwaan yang berkesan perlu dilakukan ke atas perbuatan pengintipan dan campur tangan asing. Siasatan berterusan terhadap kemungkinan rasuah di Parlimen Eropah membuktikannya,” kata Van Quickenborne dipetik akhbar LeSoir.

Beliau berkata Brussels merancang meminda peruntukan undang-undang mengenai percubaan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman Belgium dan institusi antarabangsa di wilayah Belgium.

Sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan proses membuat keputusan demokratik untuk merosakkan kepentingan negara Belgium akan didakwa.

Teks pindaan sedang disemak oleh kerajaan dan akan diserahkan untuk kelulusan parlimen menjelang musim panas.

Pada 9 Disember, pihak berkuasa Belgium membuat beberapa tangkapan dan penggeledahan di Brussels berhubung penyiasatan terhadap dakwaan rasuah di Parlimen Eropah berkaitan penganjuran Piala Dunia di Qatar dan lobi secara haram yang memihak kepada monarki Teluk dan Maghribi.

Naib Presiden Parlimen Eropah Eva Kaili dan pasangannya telah ditahan dan kediaman mereka digeledah. Kaili dipecat manakala pegawai penguatkuasa undang-undang Belgium dilaporkan merampas wang tunai lebih 1.5 juta euro (AS$1.6 juta). – Bernama, 7 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen