CEO didakwa terbabit rasuah ketika pentadbiran Perikatan


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI antirasuah menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat swasta berhubung dakwaan menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dari 2020 hingga 2022.

Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan direman hingga 10 Januari bagi membantu siasatan.

Pada 9 Disember lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan kenyataan untuk memberi tumpuan kepada dakwaan penyelewengan dana kerajaan Perikatan Nasional (PN) bernilai RM92.5 bilion yang dibelanjakan untuk langkah pengurusan Covid-19.

Dalam pada itu, sumber tersebut berkata SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat bagi memperoleh projek-projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

“Hampir 90% projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

“Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 hingga 20 peratus,” katanya.

Tambah sumber itu, suspek tersebut dipercayai telah menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor-kontraktor dan pihak atasan.

Setakat ini, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak 3 hingga 5 peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. – 6 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen