DALAM tempoh lebih setahun lalu, Laluan Kereta Api China-Laos telah banyak memudahkan perjalanan penduduk setempat dan turut mendapat sambutan hangat pengembara.
Ketika memasuki tempoh pencegahan dan kawalan Covid-19 fasa baharu, kadar permintaan perjalanan semakin bertambah sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah penumpang.
Setakat 5 Januari, jumlah penumpang yang direkodkan mencatat lebih sembilan juta orang dengan 7.54 juta daripadanya penduduk tempatan dan 1.46 juta lagi penumpang warga asing.
Ketua China Railway di Stesen Kunming, Yuan Jia, berkata purata harian penumpang untuk laluan itu seramai 29,000 orang sejak permulaan 2023 iaitu meningkat satu kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
“Untuk memenuhi keperluan perjalanan, lebih banyak tren pelbagai unit (EMU) telah ditambah dan kini secara puratanya terdapat 20 EMU yang beroperasi setiap hari,” jelas beliau.
Sementara itu, aliran penumpang luar negara juga mencapai kadar peningkatan yang stabil dengan jumlah EMU yang beroperasi meningkat kepada lima pada masa puncak berbanding hanya dua sebelum ini.
Sempena Tahun Baharu Cina, jabatan yang berkaitan akan menganalisis permintaan pengembara, memperhebat kemampuan pengangkutan, menambah jumlah EMU secara fleksibel di samping memperbaiki perkhidmatan stesen. – Bernama, 6 Januari, 2023.
Komen