Korea Selatan janji tiada lagi ujian senjata awal pagi


Kim Jong Un berjanji tidak akan mengejutkan Presiden Korea Selatan Moon Jae-In pada awal pagi dengan ujian senjata. – Gambar EPA, 10 Mac, 2018.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un berjanji kepada Presiden Korea Selatan Moon Jae-in yang tidak akan ada lagi panggilan awal pagi berlaku kerana ujian peluru berpandu, kata Seoul.

Tahun lepas Pyongyang menjalankan 20 ujian peluru berpandu, hampir kesemuanya dilakukan pada awal pagi.

Moon akan memanggil semua ahli Majlis Keselamatan Nasional setiap kali ujian itu berlaku, dan kerana ia dilakukan awal pagi, ia menyebabkan pegawai, diplomat dan wartawan di Seoul bergegas untuk mengetahui perkembangan ujian.

Tetapi, ketika bertemu dengan pegawai Korea Selatan di Seoul minggu ini, Kim yang nampak riang berjanji tidak akan menganggu lena tidur Moon lagi.

“Saya buat keputusan hari ini dan Presiden Moon tidak akan diganggu lagi daripada tidurnya pada awal pagi kerana panggilan telefon,” katanya seperti dipetik seorang pegawai Blue House di Seoul.

Dalam mesyuarat selama empat jam Isnin lalu, Kim bersetuju mengadakan sidang kemuncak dengan Moon pada April, meluahkan hasratnya untuk bertemu Presiden AS Donald Trump secepat mungkin, menawarkan rundingan penghentian nuklear, dan berjanji tidak akan ada lagi ujian peluru berpandu dan nuklear ketika rundingan dijalankan.

Kedua-dua pemimpin Korea itu juga bersetuju untuk membuka saluran komunikasi antara mereka.

“Jika ada perkara tak dapat diselesaikan oleh pegawai dan mereka bersikap angkuh, Presiden dan saya boleh bercakap terus menerusi telefon dan selesaikan semuanya,” kata Kim lagi. – AFP, 10 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen