Presiden Korea Selatan gesa tingkat kepelbagaian dalam pendidikan 


Presiden Korean Selatan Yoon Suk-yeol berkata program pendidikan perlu selari dengan revolusi perindustrian keempat. – Gambar EPA, 6 Januari, 2023.

PRESIDEN Yoon Suk Yeol mahu Korea Selatan mempertingkatkan kepelbagaian dalam sektor pendidikan memandangkan program pendidikan terdahulu sudah tidak lagi mampu untuk memenuhi keperluan negara.   

Yoon berkata demikian pada taklimat dasar tahun baharu bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, lapor Agensi Berita Yonhap.

“Jika kita mahu menghormati kebebasan dan kreativiti serta meningkatkan potensi pertumbuhan dan daya saing masyarakat melalui pendidikan, perkara pokok yang perlu diberi perhatian ialah kepelbagaian dalam pendidikan,” katanya.

Andai perbandingan dibuat antara pendidikan dengan perkhidmatan yang ditawarkan pasaran, beliau berkata struktur pasaran yang kompetitif diperlukan untuk memastikan harga dan barangan yang berpatutan dapat memuaskan hati pengguna.

Justeru, jika negara hanya berpegang kepada program pendidikan sedia ada, ia tidak mampu bertahan dalam masyarakat yang menyaksikan revolusi perindustrian keempat, katanya.

Mengenai sektor kebudayaan pula, Yoon berkata K-contents bukan sahaja berfaedah untuk sektor ini tetapi ia juga mempunyai peranan penting sebagai alat meningkatkan imej Korea Selatan.

“Dengan meningkatkan imej Korea Selatan ia dapat memberi kesan intuitif kepada semua industri lain termasuk infrastruktur dan senjata.

“Jadi adalah penting bukan sahaja dengan mengeksport K-contents, tetapi mulai sekarang, saya menjangkakan industri kandungan menjadi bidang terpenting dalam mengukuhkan keupayaan dan meningkatkan kuasa eksport kita,” kata beliau. – Bernama, 6 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen