Jepun kemuka cadangan kongsi data rantaian bekalan dengan Asean


Sejak tahun 2000-an, blok Asean mencatatkan pertumbuhan ekonomi pesat dengan gabungan KDNK anggota Asean dijangka mengatasi Jepun pada 2030. – Gambar EPA, 6 Januari, 2023.

JEPUN akan mengemukakan cadangan mengenai perkongsian data rantaian bekalannya dengan negara anggota Asean sebagai sebahagian langkah untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi di rantau ini.

Cadangan itu termasuk mewujudkan sistem yang membolehkan maklumat mengenai inventori alat ganti, kapasiti pengeluaran dan risiko gangguan rantaian bekalan dikongsi dalam kalangan syarikat Jepun dan Asean dalam industri automotif, elektronik dan industri lain.

Menurut Agensi Berita Vietnam, peruncit dan syarikat lain juga boleh menyertai platform perkongsian data itu yang akan memungkinkan pertukaran maklumat bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida selain melindungi hak asasi manusia.

“Cadangan itu juga merangkumi inisiatif kemampanan, penyelidikan bersama antara universiti dan syarikat selain modal insan,” menurut laporan berita itu yang memetik laman sesawang Nikkei Jepun.

Panel yang terdiri pegawai dari Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) dan Persatuan Eksekutif Korporat Jepun atau Keizai Doyukai, akan mengenal pasti 100 contoh perkongsian data, mencadangkan peraturan untuk pengurusan data selain menyusun wawasan ekonomi Jepun-Asean yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Keputusan rasmi mengenai usaha itu akan dibuat pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Jepun-Asean pada Ogos.

Sejak tahun 2000-an, blok Asean mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan gabungan keluaran dalam negara kasar anggota Asean dijangka mengatasi Jepun pada 2030. – Bernama, 6 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen