Dr Mahathir mengenang Sanusi Junid


Bekas perdana menteri dan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad turut sama menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Umar al-Khattab di Bukit Damansara. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Mac, 2018.

SANUSI sentiasa berjiwa nasionalis. Saya mengenalinya sebelum saya dilantik sebagai menteri lagi. Sifat patriotiknya tidak boleh ditandingi.

Kemudian apabila saya mendapat peluang, saya telah melantik Allahyarham sebagai menteri. Allahyarham penuh dengan idea idea baru yang melangkaui zaman, antaranya dalam bidang pertanian.

Kemudian beliau dipilih sebagai menteri besar Kedah. Sekali lagi beliau memperkenalkan banyak idea yang hebat. Saya sememangnya rapat dengan beliau dan amat mengagumi idea-ideanya.

Kami bekerjasama dalam usaha melawan kepimpinan Najib dan beliau sentiasa menyokong usaha-usaha saya. Berikutan itu, beliau merupakan antara ahli terawal Bersatu. Namun begitu disebabkan faktor kesihatan, beliau tidak dapat bergerak secara aktif sebagaimana yang beliau mahukan.

Beliau telah dilantik sebagai pengerusi lembaga disiplin bersatu dan beliau telah menubuhkan panel jawatankuasa disiplin yang baik dan telah melakukan tugasnya dengan bijak dan cekap.

Sesungguhnya parti telah kehilangan pemimpin yang hebat, dan begitu jugalah negara. Seperti biasa, sebagai seorang ahli politik, beliau mempunyai ramai musuh dan ramai juga sahabat.

Beliau adalah antara insan yang amat luas pengetahuannya yang pernah saya kenali. Beliau mempunyai perpustakaan persendirian yang besar dan dipenuhi begitu banyak buku buku mengenai politik dan ekonomi. Daripada buku-buku inilah beliau memberi solusi dan idea kepada pelbagai masalah yang dihadapi negara. 

Saya cukup sedih di atas pemergian Allahyarham. 

Saya berdoa kepada Allah agar Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman di akhirat. – 10 Mac, 2018.

*Dr Mahathir Mohamad adalah Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen