Ismail Sabri peroleh injunksi hingga kes saman Lokman Adam selesai


Pada 8 September tahun lepas Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera memfailkan saman fitnah ke atas Lokman Adam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi oleh bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kes saman fitnah beliau terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas peguam kedua-dua pihak merekodkan persetujuan berhubung perintah itu yang berkuat kuasa sehingga kes tersebut dilupuskan.

“Perintah persetujuan direkodkan seperti (dalam) terma-terma dan draf. Mahkamah menetapkan 6 Mac ini untuk pengurusan kes,” katanya.

Terdahulu peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju dengan perintah injunksi inter-parte itu dan perkara tersebut disahkan oleh peguam Mohd Faiz Abd Rahim yang mewakili Lokman.

Bagaimanapun kedua-dua peguam enggan mendedahkan terma yang dinyatakan dalam draf persetujuan kepada pemberita.

Pada 12 September tahun lepas Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah beliau di akaun media sosial.

Pada 8 September tahun lepas Ismail Sabri, 62, yang juga Ahli Parlimen Bera selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi beliau dan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos tahun lepas membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya dalam video bertajuk ‘Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir - Lokman Adam.’

Beliau berkata kenyataan itu yang berniat jahat, berunsur fitnah dan tidak benar dimuat naik di empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam,’ Facebook ‘Lokman Noor Adam Official,’ Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam.’

Menurut plaintif kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud beliau berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas Perdana Menteri itu serta parti politik lain yang bertentangan dengan Umno untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati Umno. – Bernama, 5 Januari 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen