Pasangan suami isteri direman 5 hari kes rasuah


SEPASANG suami isteri direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima suapan berbentuk penginapan di sebuah resort di Perak bernilai kira-kira RM8,000.

Perintah reman hingga Isnin depan terhadap kedua-dua suspek berusia 48 dan 51 tahun yang merupakan penjawat awam itu dikeluarkan oleh Majistret Wong Chai Sai di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut sumber, pasangan itu yang merupakan pegawai penguat kuasa di sebuah jabatan kerajaan ditahan pada 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Mereka disyaki meminta dan menerima suapan berbentuk penginapan tiga hari dua malam di sebuah resort di Perak berjumlah kira-kira RM8,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk menarik balik sekatan pasport miliknya,” kata sumber itu. – Bernama, 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen