Kereta api jarak jauh Thailand mula operasi di terminal baharu 19 Januari 


Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat yang mempunyai keluasan 270,000 meter persegi itu dibuka pada Ogos 2021 dan mempunyai 26 platform.– Gambar Youtube, 5 Januari, 2023.

KESEMUA 52 jenis perkhidmatan kereta api di Stesen Kereta Api Bangkok akan dipindahkan ke terminal baharu iaitu Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat bermula 19 Januari.

Stesen Kereta Api Bangkok yang lebih dikenali sebagai stesen kereta api Hua Lamphong itu sudah beroperasi berabad lamanya.

Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) memaklumkan selepas ini untuk menuju ke mana-mana destinasi di negara ini, pelancong perlu menaiki kereta api di terminal baharu itu manakala tren masuk ke Bangkok juga akan tiba di terminal berkenaan. 

Sejumlah 14 perkhidmatan kereta api ke utara, 20 ke selatan dan 18 ke timur laut akan beroperasi di terminal yang juga dikenali sebagai Bang Sue Grand Station.

Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat ialah stesen kereta api utama baharu Thailand yang direka untuk menjadi hab pengangkutan rel utama.

Bagi menandakan pembukaan stesen baharu itu, State Railway of Thailand (SRT) akan mengendalikan kereta api diesel berhawa dingin KIHA untuk pelancong di laluan Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat-Stesen Kereta Api Ayutthaya.

“Perkhidmatan pertama kereta api jarak jauh yang akan berlepas dari Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat pada 19 Januari ialah Tren No. 171, dari Bangkok ke Sungai Kolok di sempadan Thailand-Malaysia di wilayah Narathiwat,” menurut TAT. 

Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api pinggir bandar dan laluan pelancongan khas masih beroperasi dari stesen Hua Lamphong.

Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat yang mempunyai keluasan 270,000 meter persegi itu dibuka pada Ogos 2021 dan mempunyai 26 platform. – Bernama, 5 Januari, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen