Dalang penipuan kemasukan kolej di AS dihukum penjara


WILLIAM Singer, individu yang merancang skim bagi membolehkan ibu bapa kaya membeli tempat untuk anak mereka melanjutkan pelajaran di beberapa institusi pengajian tinggi berprestij di Amerika Syarikat (AS), dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setengah, lapor The New York Times.

Pendakwa raya persekutuan berkata Singer, ketua syarikat jenayah bernilai AS$25 juta, “merosakkan  integriti proses kemasukan ke kolej,” menurut laporan itu selepas mahkamah menjatuhkan hukuman di Boston semalam.

Hakim turut memerintahkan Singer membayar lebih AS$10 juta sebagai ganti rugi kepada Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri, menurut laporan itu.

Sputnik melaporkan kerajaan persekutuan memulakan siasatan pada 2018-2019 yang menjerat berpuluh-puluh ibu bapa, jurulatih dan pentadbir peperiksaan yang terlibat dalam pelan kemasukan kolej bagi program olahraga di Universiti Stanford, California Selatan, Yale dan kolej serta universiti lain.

Singer, bekas jurulatih bola keranjang dan kaunselor kolej, berjaya menempatkan pelajar di kolej berkenaan dengan merasuah jurulatih dan pemantau ujian, memalsukan markah peperiksaan, mencipta biografi pelajar dan kelayakan olahraga.

Lebih 50 didakwa termasuk pelakon Lori Loughlin dan Felicity Huffman, bekas eksekutif kasino, pembiaya ekuiti persendirian dan individu kaya dan terkemuka lain.

Singer kemudiannya menjadi pemberi maklumat kerajaan selepas mengaku bersalah pada 2019 atas beberapa pertuduhan berkaitan pemerasan dan pengubahan wang haram. – Bernama, 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen