Menteri Israel bentang akta kurangkan kuasa mahkamah


Mahkamah Agung pada masa ini ada kuasa untuk memansuhkan undang-undang yang dianggap diskriminasi, memandangkan Israel tidak mempunyai Perlembagaan. – Gambar AFP, 5 Januari, 2023.

MENTERI keadilan baharu Israel Yariv Levin semalam mengumumkan program reformasi termasuk klausa pengurangan yang membenarkan ahli politik mengetepikan keputusan Mahkamah Agung.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang kembali berkuasa minggu lalu selepas pilihan raya November 2022 dan memimpin kerajaan berhaluan paling kanan dalam sejarah negara itu, turut merancang untuk memperbaharui sistem kehakiman.

Levin semalam membentangkan cadangan pembaharuannya, di mana jika diterima pakai akan meningkatkan kuasa pemimpin politik negara mengatasi mahkamah.

“Ada hakim, tetapi ada juga Parlimen dan kerajaan. Jadi, kita mahu mewujudkan penyelarasan serta keseimbangan.

“Demokrasi berada dalam bahaya kerana kita mengundi menentukan pemimpin, namun keputusan (mahkamah) untuk kita dibuat individu (hakim) yang bukannya dipilih oleh kita,” katanya, menambah beliau memikirkan pembaharuan itu selama dua dekad.

Levin, 53, yang juga peguam dan ahli Parlimen parti Likud sejak 2009 mendakwa beberapa hakim Mahkamah Agung terikat dengan pandangan haluan kiri yang melampau.

Pembaharuan utama yang dicadangkan, klausa pengurangan itu akan membenarkan Parlimen membatalkan keputusan Mahkamah Agung dengan undi majoriti mudah.

Mahkamah Agung pada masa ini mempunyai kuasa untuk memansuhkan undang-undang yang dianggapnya bersifat diskriminasi, memandangkan Israel tidak mempunyai Perlembagaan.

Bagaimanapun, sesetengah pihak dalam kerajaan baharu menganggap badan kehakiman memiliki terlalu banyak kuasa dan berusaha untuk melaksanakan klausa yang membenarkan ahli politik mengubah keputusan atau undang-undang yang dibatalkan mahkamah. – AFP, 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen