Shahrir Samad bebas kes cuci duit


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Shahrir Ab Samad daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir, 73, selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes itu.

“Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa pendakwaan tidak akan diteruskan dalam masa terdekat. Dalam keadaan sedemikian adalah wajar tertuduh dilepas dan dibebaskan.

“Mahkamah mengguna pakai Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah selain terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk oleh pihak pembelaan. Saya perintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan. Tarikh perbicaraan pada 27 dan 28 Februari ini dilapangkan dan wang jaminan dikembalikan serta pasport diserahkan semula kepada tertuduh,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Shahrir, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib yang hadir ke mahkamah hari ini, sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-23 dalam perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Rasyidah Murni berkata pihak pendakwaan memohon menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Shahrir.

“Sehubungan itu Yang Arif, pihak pendakwaan mohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan,” katanya.

Seksyen itu menyatakan Pendakwa Raya pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman diberikan, boleh untuk tidak meneruskan kes dan semua prosiding diberhentikan dengan kebenaran mahkamah.

Ditanya Hakim Muhammad Jamil mengapa pendakwaan tidak meneruskan kes dan alasannya, Rasyidah Murni menjawab: “Arahan yang diterima adalah tidak meneruskan pendakwaan, setakat itu sahaja”.

Muhammad Jamil: Adakah pendakwaan akan diteruskan terhadap tertuduh pada tarikh akan datang dalam tempoh terdekat?

Rasyidah Murni: Tidak Yang Arif.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan atas alasan keterangan saksi pendakwaan berpihak kepada tertuduh.

Seorang lagi peguam, Dzulkifli Ahmad berkata pertuduhan terhadap Shahrir dibuat secara tergesa-gesa yang diputuskan oleh Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas.

“Kes ini berada pada tahap akhir (pendakwaan) dan pegawai penyiasat sudah dipanggil dan mengakui keterangan tidak mencukupi untuk mendakwa Tan Sri Shahrir. Oleh demikian, kami mohon mahkamah memutuskan Tan Sri Shahrir dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Peguam Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros pula berkata permohonan pendakwaan supaya Shahrir dilepaskan tanpa dibebaskan tidak memberi kebebasan mutlak kepada anak guamnya.

“Tan Sri Shahrir diheret ke mahkamah sejak 2020, malah keluarganya turut berasa malu terhadap pertuduhan dibuat ke atas beliau. Sekiranya anak guam hanya dilepas tanpa dibebaskan, akan menyebabkan beliau tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya adakah beliau akan diheret ke mahkamah pada masa akan datang,” kata peguam itu.

Dalam hujahannya, Syed Faisal Al-Edros merujuk keputusan terkini kes Vigny Alfred Raj melawan Pendakwa Raya pada 2022 di Mahkamah Persekutuan yang menyatakan bahawa orang yang dituduh melakukan jenayah berhak mendapat proses sewajarnya dan mendapat perlindungan undang-undang yang sama rata.

“Jika terdapat sebarang kekaburan dalam sebarang Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah, ia harus diselesaikan dengan memihak kepada kebebasan sesuatu subjek. 

“Jadi apabila Peguam Negara atau pegawai pendakwa telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan, tertuduh mesti dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut,” katanya.

Rasyidah Murni kemudian berkata pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara itu.

Pada 23 Dis lepas, Pegawai Penyiasat  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurzahidah Yacop, 35, semasa memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan kes itu berkata Thomas tetap mengarahkan SPRM untuk mendakwa Shahrir walaupun kertas siasatan terhadapnya tidak lengkap.

Perbicaraan kes itu bermula 26 Julai lalu dengan 22 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.

Shahrir ketika ditemui pemberita berkata nama beliau dan Umno sudah dibersihkan susulan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadapnya.

“Sepatutnya saya gembira atas pembebasan ini, tapi saya sedih sebab kes ini telah memberi gambaran kepada rakyat bahawa saya seorang ahli Parlimen dan pemimpin Umno yang rasuah serta tidak berintegriti.

“Sedangkan saya buat kerja dengan ikhlas, malah saya sudah maklumkan kepada pihak berkuasa, kenapa saya ambil wang itu dan mengapa saya minta tolong daripada Datuk Seri Najib. Semua itu saya lakukan ketika memikul tanggungjawab sebagai ahli Parlimen demi membantu orang miskin termasuk membina rumah baharu,” katanya. – Bernama, 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen