Meta didenda 390 juta euro, langgar undang-undang data peribadi EU


Meta didenda sebanyak 210 juta euro melibatkan Facebook dan 180 juta euro berkaitan Instagram, kerana melanggar undang-undang data peribadi. – Gambar EPA, 5 Januari, 2023.

MEDIA sosial gergasi Amerika Syarikat (AS) Meta dikenakan denda berjumlah 390 juta euro (AS$413 juta) pada Rabu kerana melanggar undang-undang data peribadi Kesatuan Eropah (EU) di Facebook dan Instagram, kata pengawal selia data Ireland.

Meta dan firma Big Tech AS dikenakan denda yang tinggi berhubung amalan perniagaan mereka di EU dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan blok itu juga mengetatkan undang-undang dalam talian.

Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland berkata dalam satu kenyataan Meta melanggar “kewajipannya berhubung ketelusan” dan menggunakan asas undang-undang yang salah “untuk pemprosesan data peribadi bagi tujuan pengiklanan tingkah laku”.

Badan pemantau mencapai “keputusan muktamad” mendenda Meta Ireland 210 juta euro melibatkan Facebook dan 180 juta euro berkaitan Instagram, kerana melanggar Peraturan Perlindungan Data Am (GDPR).

Pengumuman itu dibuat sebulan selepas pengawal selia data Eropah, Penyelia Perlindungan Data Eropah (EDPS), mengenakan keputusan berhubung pengendalian data peribadi oleh kumpulan itu.

Satu daripada keputusan itu adalah berkaitan bahagian mesej menerusi aplikasi WhatsApp, dengan DPC Ireland akan mengumumkan keputusan berasingan minggu depan.

Operasi gergasi internet itu berpangkalan di Dublin, bersama-sama dengan beberapa syarikat teknologi global utama lain termasuk Google, Apple dan Twitter. – AFP, 5 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen