PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik definisi China terhadap kematian akibat Covid yang “sangat sempit”, dan berkata statistik rasmi tidak menunjukkan kesan sebenar wabak itu di negara berkenaan.
Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan berkata statistik semasa yang dikeluarkan China kurang menggambarkan kesan sebenar wabak dari segi kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan jumlah kes kematian.
Kenyataan Ryan itu susulan China mengumumkan wabak Covid-19 di negara itu dapat dibendung dan ia berjaya mengawalnya.
Ia dibuat ketika agensi PBB itu bersiap sedia untuk bertemu dengan saintis China sekali lagi hari ini sebagai sebahagian daripada taklimat yang lebih meluas dalam kalangan negara anggota mengenai ancaman global Covid-19.
Dalam taklimat terdahulu, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus sekali lagi berkata agensi itu prihatin mengenai lonjakan jangkitan Covid-19 di China dan menggesa Beijing memberikan data yang cepat dan tepat mengenai kemasukan ke hospital serta kematian.
“Kami terus meminta China untuk data yang boleh dipercayai mengenai kemasukan ke hospital dan kematian, serta penjujukan virus masa nyata yang lebih menyeluruh.
“WHO bimbang risiko kepada kehidupan di China dan menegaskan sekali lagi tentang kepentingan vaksinasi, termasuk dos penggalak untuk melindungi daripada kemasukan ke hospital, gejala teruk dan kematian,” katanya.
Sebelum ini, China memansuhkan kawalan dan sekatan bulan lalu dan pakar kesihatan antarabangsa meramalkan sekurang-kurangnya sejuta kematian di China tahun lalu namun China hanya melaporkan hanya lima kematian sehari.
Bagaimanapun, China menolak pandangan pakar antarabangsa dan mendakwa ia cubaan bermotif politik untuk mencemarkan pencapaiannya dalam memerangi virus. – AFP, 5 Januari, 2023.
Komen