Perikatan akan jadi pembangkang berkesan, kata Hamzah


Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata ahli Parlimennya akan memastikan adanya semak dan imbang sewajarnya terhadap kerajaan perpaduan baharu yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2023.

PERIKATAN Nasional tidak akan membuat sebarang percubaan untuk membentuk kerajaan “pintu belakang” sebaliknya akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan, kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung PN berkata ahli Parlimennya akan memastikan adanya semak dan imbang sewajarnya terhadap kerajaan perpaduan baharu yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Beliau juga menolak tanggapan akan ada langkah untuk menggulingkan kerajaan sekarang dengan cara yang sama seperti yang menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan pada Februari 2020.

“Saya tidak mahu menentang (kerajaan) begitu sahaja, kerana saya berada dalam kerajaan sebelum ini selama beberapa tahun,” katanya seperti dipetik The Vibes.

“Saya harus faham bagaimana kerajaan berfungsi. Apabila bercakap tentang dasar, selagi dasar itu baik untuk rakyat negara ini kita harus memberi sokongan.

“Jika saya rasa dasar itu tidak diuruskan dengan baik saya rasa saya patut menyuarakan demi kepentingan rakyat negara ini. Itu sepatutnya cara kita meletakkan diri kita sebagai pembangkang,” kata pemimpin Bersatu itu.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan anjuran Kelab Concorde - kumpulan media tidak rasmi pengarang tempatan dan asing yang kerap bertemu dengan pemimpin politik dan penggubal dasar utama.

Beliau juga enggan mengulas mengenai prestasi Anwar sebagai PM dan  berkata adalah tidak adil untuk memberikan komen kerana presiden PKR itu baru menjalankan tugas tidak sampai dua bulan.

“Izinkan beliau buat (kerja sebagai PM). Beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri yang baik, menteri kewangan yang baik (pada 1990-an). Itu ketika itu.

“Sekarang ia adalah dunia yang berbeza. Dunia sedang berdepan masalah ekonomi yang lebih besar… jangan ganggu beliau dalam isu politik.

“Biar beliau bekerja selesaikan hal ekonomi, stabilkan ekonomi. Orang akan sangat gembira dan beliau boleh bertahan lebih lama.

“Tetapi jika beliau tidak boleh berbuat demikian, ia akan mewujudkan ketidakstabilan politik di negara ini,” kata Hamzah.

Beliau juga berkata Kabinet bayangan PN akan dalam bentuk “kluster” yang akan diumumkan tidak lama lagi. – 4 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen