Biden akan adakan perbincangan dengan Kishida di White House


Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadual akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di White House pada minggu depan. – Gambar EPA, 4 Januari, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadual akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di White House pada minggu depan.

Menurut kenyataan Setiausaha Akhbar White House Karine Jean-Pierre semalam, antara topik yang bakal menjadi agenda perbincangan kedua-dua pemimpin itu dalam mesyuarat pada 13 Januari itu termasuk mengenai program senjata Korea Utara, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta isu “mengekalkan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan”, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jean-Pierre berkata Presiden AS itu merancang untuk “mengulangi sokongan penuhnya terhadap Strategi Keselamatan Negara Jepun”.

Jepun baru-baru ini mengumumkan mengenai strategi memperkasa keupayaan pertahanannya memandangkan usaha China untuk memperluas kuasa dan ancaman Korea Utara.

Pyongyang baru-baru ini juga dilaporkan melancarkan beberapa peluru berpandu yang dilihat meningkatkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea. – Bernama, 4 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen