AS laksana hukuman mati terhadap transgender


SEORANG transgender yang disabitkan kesalahan membunuh menjalani hukuman mati lewat Selasa dalam hukuman mati pertama seumpama itu di Amerika Syarikat (AS), kata pegawai.

Amber McLaughlin, 49, disahkan meninggal dunia sejurus sebelum jam 7 malam waktu tempatan di Pusat Diagnostik dan Pemulihan di bandar Bonne Terre, Missouri, menurut kenyataan jabatan penjara negeri.

Stesen berita tempatan Fox2now melaporkan McLaughlin meninggal dunia akibat suntikan maut.

McLaughlin ialah transgender pertama dihukum mati di negara itu, dan juga yang pertama dihukum mati tahun ini di Amerika.

Beliau disabitkan bersalah membunuh bekas teman wanitanya pada 2003 di pinggir bandar St. Louis, sebelum menukar jantina.

McLaughlin mengintip mangsa sehingga ke tahap terpaksa meminta perintah sekatan.

Pada hari pembunuhan itu, McLaughlin menunggu wanita itu—bernama Beverly Guenther—meninggalkan tempat kerja.

Guenther dirogol dan mati ditikam dengan pisau dapur. Mayatnya dibuang berhampiran sungai Mississippi.

Pada 2006 juri mendapati McLaughlin bersalah kerana membunuh tetapi buntu mengenai hukuman yang sepatutnya.

Hakim bicara masuk campur dan menjatuhkan hukuman mati. Campur tangan sedemikian dibenarkan di Missouri dan juga di Indiana.

Memetik fakta yang juri tidak menjatuhkan hukuman mati kepada McLaughlin, peguamnya meminta Gabenor Mike Parson meringankan hukumannya kepada penjara seumur hidup.

“Hukuman mati yang kini sedang dipertimbangkan bukan datang dari hati nurani masyarakat—tetapi daripada seorang hakim,” peguamnya berhujah dalam permohonan pengampunan.

Mereka juga berhujah McLaughlin mempunyai zaman kanak-kanak yang bermasalah dan mengalami masalah kesihatan mental.

Perjuangannya mendapat sokongan daripada individu berprofil tinggi termasuk dua ahli Dewan Perwakilan Missouri AS, Cori Bush dan Emanuel Cleaver.

Dalam sepucuk surat kepada gabenor, mereka berkata bapa angkat McLaughlin pernah memukulnya dengan baton dan juga mencucuknya.

“Selain penderaan yang dahsyat ini, beliau juga secara senyap bergelut dengan identitinya, bergelut dengan apa yang kini kita fahami adalah disforia jantina,” kata surat itu. Keadaan ini menggambarkan individu berasa jantina semasa lahir dan identiti tidak sepadan.

Laporan akhbar berkata McLaughlin memulakan peralihan jantinanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi kekal di bahagian penjara lelaki di Missouri.

Pusat Maklumat Hukuman Mati, yang berfungsi untuk memansuhkan hukuman sedemikian di Amerika, berkata tiada kes sebelum ini yang diketahui melibatkan seorang transgender secara terbuka dihukum mati di AS.

Isu itu menarik perhatian beberapa bulan kebelakangan ini, dengan mahkamah tertinggi Ohio mengekalkan hukuman mati terhadap seorang wanita transgender dan negeri Oregon, kata pusat itu. – AFP, 4 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen