POLIS menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes letupan sebuah bungkusan yang ditinggalkan di atas kereta di luar sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya, minggu lepas, yang membunuh seorang tukang masak.
Pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Kulim, Kedah, tengah malam semalam, kata sumber polis.
“Polis sedang menyiasat pembabitan mereka dalam kejadian letupan itu.
“Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” kata sumber.
Dalam kejadian pukul 8.50 malam Khamis lepas, tukang masak berumur 28 tahun maut selepas bungkusan yang diletakkan di atas keretanya meletup, dipercayai bom buatan sendiri.
Mangsa dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan itu selepas dimaklumkan rakan sekerja.
Siasatan polis di tempat kejadian turut menemui antaranya bateri, serpihan pisau dan alat pengecas mudah alih.
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak sebelum ini dilapor berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – 4 Januari, 2023.
Komen