Masa untuk perkenalkan Akta Sukan Selamat


SAYA memuji tindakan proaktif Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Siddiq apabila mengambil serius dan mempertikaikan jurulatih yang menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 lalu.

Namun begitu, saya juga meminta tindakan segera dari sudut penggubahan polisi yang bermasalah.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya bekas menteri Ahmad Faizal Azumu menjanjikan untuk meminda Akta Sukan Selamat (Safe Sports Act) ketika pentadbiran yang lepas.

Oleh itu, besar harapan saya supaya Yeoh membentangkan segera akta tersebut pada sesi Parlimen akan datang.

Akta Sukan Selamat bukan sahaja tertumpu kepada isu gangguan seksual, rogol, dan mengendap tetapi turut merangkumi isu keganasan melibatkan fizikal yang melanggar hak asasi manusia.

Saya lihat dalam hal ini Malaysia jauh terkebelakang apabila bercakap isu polisi untuk melindungi dan menjaga kebajikan atlet atau pemain industri sukan keseluruhannya.

Kita juga masih belum memberi kebebasan sepenuhnya kepada atlet dan pemain negara yang berada di sesebuah naungan persatuan sukan untuk memilih berdikari menjadi pemain bebas seperti isu Lee Zii Jia pada tahun lepas.

Saya mengusulkan kepada Yeoh supaya memperkenalkan Akta Sukan Amatur (Amateur Sports Act) supaya tiada lagi isu persatuan sukan cuba menyekat suara atlet tanpa memberi kebebasan kepada atlet tersebut untuk membuat pilihan.

Ketika pentadbiran kerajaan silih berganti dan politik negara yang tidak menentu sudah pasti kami ingin melihat satu anjakan paradigma dalam pentadbiran di setiap kementerian terutama dari sudut polisi yang menguntungkan rakyat terbawah.

Saya berharap mesej ini sampai kepada menteri belia dan sukan dan saya sudi bertemu beliau dan berbincang tentang akta yang dicadangkan ini. – 4 Januari, 2023.

* Yuslaini Azmi adalah setiausaha PKR Batu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen