China kecam peraturan Covid dikenakan terhadap rakyatnya


China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ni walaupun dilaporkan lonjakan jangkitan Covid-19 sedang berlaku di negara itu. – Gambar EPA, 4 Januari, 2023.

CHINA menganggap sekatan antarabangsa dikenakan terhadap pengembara dari negaranya sebagai “tidak boleh diterima”, susulan lebih 12 negara menguatkuasakan peraturan baharu sekatan Covid terhadap pelawat dari negara paling ramai populasi itu.

Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun dan Perancis antara negara yang bertegas untuk semua pengembara dari China mengemukakan keputusan ujian negatif Covid sebelum ketibaan, kerana kebimbangan terhadap lonjakan kes jangkitan di negara itu.

Lonjakan jangkitan berlaku selepas Beijing secara tiba-tiba menarik balik sekatan ketat pengawalan Covid bulan lalu, dengan hospital dan pusat pengebumian mengalami lambakan pesakit dan kematian.

Tetapi Beijing tetap mempercepatkan pembukaan semula sempadannya, malah bulan lalu ia mengumumkan berakhirnya kuarantin wajib bagi setiap ketibaan ke negara itu, sebagai usaha menggalakkan rakyat China ke luar negara.

“Beberapa negara mengenakan sekatan kemasukan terhadap China,” kata jurucakan kementerian luar Mao Ning.

“Tindakan ini tidak berlandaskan asas saintifik dan sesetengah sekatan tidak boleh diterima,” katanya, memberi amaran China mungkin bertindak balas terhadap perkara itu.

AS dalam balasannya berkata tindakan itu diambil sebagai respons terhadap China yang tidak telus terhadap data Covid dan bimbang kes yang banyak boleh menyebabkan kewujudan varian baharu.

“Ini adalah pendekatan yang mutlak berdasarkan kepada sains,” kata jurucakap Jabatan Dalam Negeri Ned Price di Washington.

Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne mempertahankan peraturan baharu itu dan berkata ia hanya tanggungjawab untuk meminta ujian saringan Covid sebelum masuk ke negara itu.

Peraturan itu dikuatkuasakan kepada semua pengembara dari China – bukan sekadar warganegara China – sementara Beijing terus mengenakan sekatang bagi pengunjung ke negaranya dan tidak mengeluarkan visa pelancong atau visa pelajar antarabangsa.

China merekodkan hanya 22 kematian akibat Covid sejak Disember dan mengkhususkan kriteria untuk mengklasifikasikan ia sebagai berpunca daripada Covid. Ini bermakna statistik Beijing dilihat sebagai tidak telus dan tidak mencerminkan realiti sebenar. – AFP, 4 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen