Tatkala Anwar memetik Imam Ali


Faisal Tehrani

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari 2023.

BARU-BARU ini, dalam satu ucapannya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada memetik surat yang diutus oleh khalifah keempat, Saidina Ali kepada Gabenor Mesir, Malik Asytar. 

Saya pernah menjelaskan dalam dua makalah ilmiah saya tentang warkah ini. Pertama, dalam makalah tahun 2015 berjudul ‘Pengantar Hak Asasi Manusia Moden dan Hujah Sangkalan Ia Bertentangan Dengan Islam’ dan kedua dalam sebuah makalah tahun 2018 dengan tajuk ‘The Memory of Tanzimat and How the Malay World Could Have Learned from It’.

Warkah kepada Malik Asytar ini adalah sebuah dokumen tatakelola pemerintahan, kovenan hak asasi manusia, dan juga sebuah panduan berkerajaan yang sangat canggih mendahului zamannya. 

Ada suara-suara nakal dan dajal yang mempertikaikan rujukan Anwar ini dengan alasan ia memesrai ajaran Syiah. Alangkah bodohnya. Padahal kehebatan warkah Saidina Ali kepada Malik Asytar ini malah mendapat perhatian seorang profesor di Oxford di zaman Renaisans iaitu Edward Powcock (1604-1691), sehingga ia diterjemah dan disampaikan beliau dalam bentuk kuliah bersiri atas tajuk ‘Retorika’. 

Bukan itu sahaja, Majlis Hak Asasi Manusia pada 2002, di bawah Sekretariat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah merujuk surat ini selaku satu bukti sumbangan Islam untuk kemanusiaan masa moden. Ia kemudian turut dipetik dalam laporan UNDP pada tahun sama. Surat luar biasa ini juga menjadi sandaran penggubalan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Agenda 2030).

Warkah Saidina Ali kepada Malik ini pertamanya disalin oleh Asbagh bin Nabata, dan kemudian diulang salin antara lain oleh Nasr bin Mazahim (148 H), Jahiz Basari (255 H) dan Syed Radhi (404 H).

Masyarakat atau penganut Syiah merujuk surat ini sebagai ‘Warkah 53’ dan termuat dalam Nahjul Balaghah (himpunan warkah, khutbah dan kata-kata Saidina Ali). Surat ini mengandungi 117 perenggan.

Salah satu aspek yang menjadi kekaguman Barat ialah apabila Khalifah Ali menekankan kesetaraan dalam kemanusiaan. 

Khalifah Ali menegaskan kepada al-Ashtar bahawa rakyatnya itu semuanya setara dan tidak ada yang harus dilebihkan, antara lainnya: “Manusia itu hanya dua macam; pertama adalah saudaramu seagama atau kedua, saudaramu sesama manusia.”

Dalam hal lain, Surat 53 ini juga merupakan satu kovenan atau dokumen hak asasi manusia yang cemerlang. Dalam suratnya Imam Ali menggariskan satu metrik yang sangat penting untuk orang Islam ketika berdepan dengan pencabulan hak asasi manusia. Ingatan baginda adalah jelas, supaya ‘menegakkan keadilan kepada yang bukan Islam, memberikan hak yang tertindas; dan bersikap tegas terhadap kelompok penindas.’

Dalam sebuah warkah kepada anaknya, Khalifah Ali turut menyarankan kepada anak-anaknya, antara lain, ‘menyatakan sikap di hadapan penindas dan menawarkan bantuan kepada yang tertindas’. 

Jelas, gagasan Khalifah Ali mengenai keadilan ini adalah satu tanggungjawab moral yang perlu dipenuhi; yang mana dalam erti kata lain, jika Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri menjadikan ia sebuah panduan penting, mengapa pula kita ingin memperlekehkan atau mengabaikannya? 

Anwar, saya yakin mengetahui isi surat ini luar dalam senubari mungkin. 

Kebanyakan sanggahan terhadap ‘Surat 53’ ini datang daripada mereka yang tidak ingin mempercayai Saidina Ali dan misi reformasinya. Malik Ashtar diketahui sebagai seorang ejen reformasi dan bersama-sama dengan Khalifah Ali tekad untuk membetulkan empayar Islam yang teruk dilanda korupsi, kronisme dan nepotisme sepanjang pemerintahan Khalifah Osman bin Affan. Iaitu 40 dekad setelah kewafatan Rasulullah saw. 

Dakwaan bahawa Malik adalah antara gerombolan dari Kufah yang membunuh Osman di Madinah tidak berasas dan hanya muncul ketika Perang Siffin daripada mulut Muawiyah yang khuatir banyak rahsianya pecah. 

Malah, isteri Khalifah Osman, Naelah yang menyaksikan pembunuhan suaminya berusia 84 tahun ketika itu tidak pun menyebut nama Malik Asytar ketika insiden kejam itu disiasat oleh Saidina Ali kemudiannya. 

Sebagai seorang yang korup dan tidak bersedia duduk bersatu dan berpadu dengan Saidina Ali, Muawiyah telah memanipulasi keadaan huru-hara di Madinah itu untuk mencipta naratif dan kempen politik baharu. 

Menyedari betapa penduduk Damsyik tatkala itu adalah penyokong kuat Osman, Muawiyah telah menggunakan ini untuk menjolok emosi masyarakat Islam di Syria yang tidak tahu apa yang telah terjadi di Madinah sehinggalah kekarutan ini diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Surat 53 ini sering dirujuk sebagai surat Saidina Ali kepada Gabenornya di Mesir. Tidak ramai yang tahu, Malik al Ashtar tidak pun sempat menjadi penguasa di Kaherah. Ini kerana dalam perjalanannya ke Mesir untuk menggantikan Muhammad bin Abu Bakar (anakanda khalifah pertama) beliau telah diracun dalam perjalanan dan meninggal dunia.

Siapa yang membunuh Malik tentulah sangat kontroversial. Tidak ada bukti kukuh untuk mengaitkan sesiapa. Namun yang pasti memang ada rekod memetik bahawa Muawiyah seteru politik Ali pernah menyatakan untuk menamatkan pengaruh politik Saidina Ali, beliau perlu menamatkan dua orang iaitu Ammar Ibn Yasir (yang terkorban di Siffin) dan Malik Ashtar (yang diracun kemudiannya). 

Setelah ketiadaan kedua-duanya, tidaklah aneh kumpulan politik tajaan Damsyik di bawah kekuasaan Muawiyah, iaitu khawarij betah melancarkan permusuhan abadi terhadap Saidina Ali dan mendorong Ibnu Muljam menghentak kepala Khalifah Keempat itu dengan parang ketika baginda sedang menjadi imam solat, pada subuh 19 Ramadan di Kufah, Iraq di tahun 40 hijrah.

Anwar mungkin kelihatan terpelajar merujuk Surat 53, akan tetapi warkah ini juga ada ‘semangatnya’. Sesiapa yang menyerukan semangat refromasi Ali bin Abi Thalib dan Malik bin Asytar haruslah berani melaksanakannya. Juga, harus berani berdepan dengan risikonya.

Ini kerana pada mana-mana zaman pun, tekad untuk melaksanakan islah dan menghapuskan korupsi akan berakhir dengan korban dan tragedi. Ini kerana kecabulan politik itu sinonim dengan gerakan Iblis, Firaun, Namrud dan Yazid (pembunuh Saidina Hussein, penghulu syuhada di syurga). Dalam kerajaan perpaduan Anwar ada elemen ini. 

Akan tetapi saya tahu betapa Anwar pun tahu akan ini, kerana retorika Anwar sejak dulu ialah “Kalau takut dengan risiko, jangan bicara soal perjuangan”. – 4 Januari 2023. 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen