Tiada perbincangan latihan nuklear dengan Korea Selatan, kata Biden


Presiden AS Joe Biden berkata beliau dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol tidak membincangkan mengenai latihan nuklear. – Gambar AFP, 3 Januari 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata beliau tidak membincangkan mengenai latihan nuklear bersama Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol, lapor Sputnik, memetik kenyataan Rumah Putih. 

Yoon dalam temu bual dengan akhbar The Chosun Ilbo sebelum ini berkata Seoul sedang berunding dengan Washington untuk bersama-sama merancang dan menjalankan latihan dengan penyertaan pasukan nuklear AS untuk menentang ancaman nuklear Korea Utara.

“Tidak,” kata Biden apabila ditanya sama ada beliau ada membincangkan latihan nuklear bersama Korea Selatan.

Susulan kenyataan Biden itu, pejabat presiden Korea Selatan menjelaskan maksud sebenar yang tersirat mengenai kerjasama nuklear antara kedua-dua negara.

“Latihan nuklear bersama ialah istilah yang digunakan antara kuasa nuklear. (Oleh itu, apabila wartawan bertanya kepada Biden) jika latihan nuklear bersama sedang dibincangkan, (beliau perlu berkata) tidak,” menurut setiausaha presiden kanan bagi hal ehwal akhbar Korea Selatan Kim Eun-hye dipetik agensi berita Yonhap.

Menurut Kim, kedua-dua negara sedang berbincang secara tetap mengenai perkongsian maklumat berkaitan di lapangan dan mengenai perancangan serta pelaksanaan operasi nuklear AS.

Situasi di Semenanjung Korea menjadi lebih tegang apabila pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengarahkan pembangunan sistem peluru berpandu balistik baharu antara benua minggu lepas untuk melakukan serangan balas nuklear pantas.

Beliau juga berkata AS, dengan alasan untuk mengukuhkan kerjasama dengan Korea Selatan dan Jepun, sedang mewujudkan “Nato versi Asia.”

Sebagai tindak balas, Seoul berkata langkah yang diumumkan Pyongyang itu “tidak masuk akal” dan hanya akan memburukkan lagi keadaan. – Bernama, 3 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen