‘Orang paling dibenci’ di AS dihukum penjara 7 tahun kerana menipu


Martin Shkreli sebelum ini mencetuskan kemarahan awam selepas menaikkan harga ubat sebanyak 5,000%. – Gambar EPA, 10 Mac, 2018.

MARTIN Shkreli, yang pernah dianggap orang paling dibenci di Amerika kerana menaikkan harga ubat penyakit HIV, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun di Florida atas dakwaan menipu pelabur.

Bekas eksekutif syarikat farmasi dan pengurus pelaburan itu disabitkan kesalahan pada Ogos lalu kerana bersubahat melakukan penipuan pelaburan dan dua dakwaan menipu pelaburan.

Shkreli yang pernah menerajui Turing Pharmaceuticals dikenali ramai kerana menaikkan harga ubat Daraprim pada 2015 sebanyak 5,000%- daripada AS$13.50 sebiji kepada AS$750.

Tingkah laku angkuhnya ketika pendengaran Kongres yang menyiasat kenaikan itu menyebabkan dia dikenali ramai kerana gaya hidup mewahnya.

Walaupun kontroversi dadah itu tidak mempunyai kaitan dengan perbicaraan di New York, kesannya sangat besar sehingga sukar mencari juri yang tidak berat sebelah untuk perbicaraanya.

Ditahan pada Disember 2015, ikat jaminnya dibatalkan pada September selepas dia menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang boleh menarik rambut calon presiden Hillary Clinton.

Shkreli menegaskan yang ganjaran itu hanyalah lawak jenaka.

Peguamnya, Ben Brafman menggambarkan Shkreli sebagai individu dengan penyakit autistik pertengahan, orang bijak yang belajar sendiri dan meminta Hakim Daerah AS Kiyo Matsumoto menjatuhkan hukuman penjara maksimum 18 bulan.

Tetapi Brafman mengakui yang “ada kalanya saya mahu menumbuknya” kerana kelakuan anak guamnya itu menyukarkan pembelaan, menurut laporan wartawan di mahkamah.

Pendakwaraya meminta hukuman penjara 15 tahun, berhujah yang Shkreli tidak kesal dengan tindakannya berdasarkan kenyataan jelik dan provokatif di media sosial.

Isnin lalu, Matsumoto mengarahkan Shkreli membayar kembali AS$7.36 juta kepada pihak berkuasa, yang akan diperolehi melalui rampasan asetnya.

Ini termasuklah lukisan Picasso dan salinan unik album penyanyi rap, Wu-Tang Clan. – AFP, 10 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen