2 warga Britain maut nahas helikopter di Gold Coast


Empat terbunuh dalam kemalangan antara dua helikopter yang bertembung di pantai Queensland di Gold Coast, Australia. – Gambar Facebook, 3 Januari, 2023.

SEPASANG suami isteri warga Britain antara empat yang terbunuh dalam nahas dua helikopter bertembung sebelum terhempas berhampiran pusat tumpuan pelancong di Australia, kata penyiasat.

Sebuah helikopter berlepas untuk penerbangan pelancongan di sepanjang Queensland di Gold Coast ketika bilah pemutarnya bertembung dengan kokpit sebuah helikopter lain yang mahu mendarat, kata pesuruhjaya keselamatan udara Angus Mitchell.

“Dalam proses pertembungan antara helikopter hendak berlepas dan mendarat itu, ia menyebabkan satu tragedi,” katanya.

Kedua-dua helikopter beroperasi di luar Sea World, kata Mitchell, iaitu taman tema popular dan akuarium.

Terdapat tujuh penumpang termasuk seorang juruterbang di dalam helikopter yang sedang berlepas itu.

Tiga penumpang dewasa terbunuh, kata polis, termasuk juruterbangnya, Ashley Jenkinson.

Tiga lagi penumpang cedera parah.

Polis Queensland Mike Campbell berkata dua warganegara Britain, dipercayai sepasang suami isteri, antara yang terkorban.

Jenkinson seorang juruterbang berpengalaman dan pernah terbabit dalam misi menyelamat dalam bencana banjir Australia baru-baru ini, kata rakannya.

Semua enam penumpang dalam helikopter kedua selamat dan dapat mendarat dengan baik walaupun kokpitnya musnah, kata penyiasat. – AFP, 3 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen