4 ditahan ceroboh Kedutaan Iran di London


Pada 1980, enam lelaki bersenjata merampas Kedutaan Iran di London, selepas enam hari, pasukan gerak khas Britain menyerbu bangunan itu membunuh lima penyerang, menangkap seorang. Dua tahanan juga terbunuh dalam serangan itu.– Gambar EPA, 10 Mac, 2018.

EMPAT penunjuk perasaan ditahan selepas memasuki kawasan balkoni Kedutaan Iran di London semalam yang menyebabkan Tehran membuat aduan mengenai kawalan keselamatan di bangunan itu, kata polis.

“Kami dipanggil pada jam 4.20 petang waktu tempayan melaporkan yang empat penunjuk perasaan berada di balkoni Kedutaan Iran di Princes Gate, Knightsbridge,” kata jurucakap Polis Metropolitan London.

Pada jam 6.40 pm, empat lelaki ditahan kerana disyaki melakukan jenayah kerosakan dan memasuki kawasan premis diplomatik secara haram.

“Keempat-empat mereka dibawa ke balai polis London tengah. Mereka dalam tahanan,” kata jurucakap itu lagi.

Difahamkan yang penunjuk perasaan itu tidak berjaya memasuki bangunan kedutaan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Ghasemi berkata Tehran sudah membuat bantahan keras kepada kerajaan Britain susulan kejadian itu, menurut agensi berita Iran, Irna.

Laporan menyebut yang penyokong “kumpulan pelampau” yang tinggal di Britain bertanggungjawab atas kejadian itu.

Timbalan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi juga membuat bantahan kepada Duta Britain di Tehran, mendesak “perlindungan sepenuhnya kepada diplomat kami di London dan polis serta merta menangani kes itu”, lapor Irna.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar mengatakan: “Keselamatan diplomat dan pegawai misi diplomatik di UK sangat penting untuk kami.”

Pada 1980, enam lelaki bersenjata kumpulan pemberontak Iran menakluk Kedutaan Iran di London menjadikan berpuluh orang tahanan.

Selepas rampasan enam hari itu, pasukan gerak khas Britain menyerbu bangunan itu, membunuh lima penyerang dan menahan seorang lagi. Dua tahanan turut terbunuh. – AFP, 10 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen