TAMAN Negara Dry Tortugas, gugusan pulau di bara Florida, akan terus ditutup hingga diberitahu kelak, susulan jumlah bot membawa pendatang dari Cuba semakin banyak, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Taman terpencil itu yang terkenal dengan Fort Jefferson, tapak bersejarah terletak kira-kira 110km barat Key West, Florida, berada hampir dengan ibu kota Cuba, Havana.
Taman itu akan ditutup sementara untuk orang awam sementara pihak berkuasa dan pegawai perubatan membuat penilaian, dan memberi bantuan kepada kira-kira 300 pendatang asing yang tiba di taman itu sejak dua hari lalu, kata Perkhidmatan Taman Negara AS dalam satu kenyataan.
“Seperti di tempat lain di Keys, taman berkenaan turut menerima jumlah kemasukan pendatang dari Cuba yang datang menaiki bot dan kapal, mendarat di pulau-pulau di Taman Negara Dry Tortugas,” katanya.
Cuba yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi terburuk sejak 1990-an, terpaksa melihat sejumlah besar rakyatnya melarikan diri ke AS sejak setahun lalu, namun kebanyakannya tiba di AS menerusi jalan darat iaitu merentasi Mexico.
Namun, ribuan yang lain turut melakukan perjalanan berisiko tinggi dengan menggunakan bot untuk ke Florida, dengan ramai yang dipintas oleh pengawal pantai AS atau ditahan pihak berkuasa ketika mendarat.
Sejak awal Oktober hingga Disember 2022, pengawal pantai AS menahan lebih 3,700 warga Cuba.
Ramai juga yang terkorban ketika cuba menyeberang lautan, termasuk lima pada Oktober apabila bot mereka bertembung. – AFP, 3 Januari, 2023.
Komen