Ronaldo tiba di Arab Saudi menjelang pengumuman Al Nassr


Cristiano Ronaldo disambut meriah ketika tiba di Riyadh menjelang pengumuman rasmi di depan ribuan penyokong kelab Arab Saudi, Al Nassr hari ini. – Gambar Facebook, 3 Januari, 2023.

BINTANG bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo tiba di Riyadh menjelang pengumuman rasmi di depan ribuan penyokong kelab Arab Saudi, Al Nassr hari ini, selepas mengesahkan perpindahan mengejut dilaporkan bernilai lebih 200 juta euro (RM940.11 juta).

Pemain berusia 37 tahun itu, pemenang lima kali Ballon d’Or, mendarat di ibu kota Arab Saudi lewat malam tadi menurut televisyen tempatan, Al Ekhbariya dan menginap di hotel mewah bersama pengiringnya.

“Beliau membawa sepasukan besar pembantunya, malah sekali dengan syarikat keselamatan,” kata pegawai.

Tahap keselamatan dipertingkatkan di sekitar lapangan terbang dan deretan kereta polis kelihatan.

Ronaldo, yang meninggalkan Manchester United selepas mengkritik kelab itu dalam satu temu bual di televisyen, akan tampil di stadium berkapasiti 25,000 tempat duduk milik Al Nassr, iaitu Stadium Mrsool Park du Riyadh pada 7 malam waktu tempatan hari ini.

Al Nassr menjangkakan stadium akan penuh bagi acara memperkenalkan pemain itu, menurut seorang pegawai.

Ronaldo setakat ini bintang terbesar akan bermain di Arab Saudi walaupun pemain lain seperti George Weah, Pep Guardiola adan Xavi juga pernah beraksi di negara Teluk yang kaya itu pada penghujung karier mereka.

Al Nassr, juara sembilan kali Liga Arab Saudi, melabelkan kedatangan Ronaldo sebagai “lebih besar daripada sejarah yang akan dicipta” sambil mendakwa ia akan memberi inspirasi kepada keseluruhan liga malah negara berkenaan. – AFP, 3 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen