BRAZIL dalam keadaan emosional ketika upacara memberi penghormatan terakhir untuk Pele dimulakan dengan lokasinya di stadium di mana bintang legenda bola sepak itu kali pertama tampil menawan dunia dengan kemahirannya.
Ribuan peminat dan individu penting dalam industri bola sepak hadir ke Vila Belmiro, lokasi kelab Pele, Santos, di mana keranda Pele yang digelar “O Rei” (Raja) diletakkan di tengah padang.
Pejabat Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berkata beliau akan hadir pada pagi ini untuk memberikan penghormatan terakhir.
Upacara penghormatan terakhir itu akan diadakan sepanjang 24 jam, sebelum proses pengebumian.
Pele, juara tiga kali Piala Dunia dianggap sebagai pemain bola sepak terunggul, meninggal dunia pada Khamis lalu pada usia 82 tahun kerana kanser.
Presiden FIFA Gianni Infantino yang hadir upacara itu bersama barisan ketua persekutuan bola sepak Brazil dan Amerika Selatan, berkata badan pentadbir sukan itu akan meminta semua ahlinya menamakan stadium itu sebagai penghormatan kepada Pele.
“Pele adalah selamanya. Beliau ikon bola sepak dunia,” katanya kepada media di Santos, yang terletak kira-kira 75km dari Sao Paulo.
Carlos Mota dan anaknya Bernado berusia 12 tahun melakukan perjalanan sejauh 500km dari Rio de Janeiro untuk memberi penghormatan terakhir kepada wira itu.
“Keseluruhan zaman kanak-kanak saya dipengaruhi dengan apa yang Pele lakukan demi Brazil, menerusi kemenangannya di Piala Dunia. Beliau adalah idol negara,” kata Mota, 59.
“Saya sering beritahu anak saya, ada tiga fakta yang tidak boleh dipatahkan; bola itu bulat, rumput hijau dan Pele adalah yang paling hebat.”
“Saya tidak pernah melihat Pele bermain, tetapi saya tonton videonya. Beliau pemain paling hebat pernah ada di dunia ini,” kata Bernado. – AFP, 3 Januari, 2023.
Komen