Staf hospital Greece tanpa vaksin Covid kembali bekerja


Greece merekodkan lebih 5.3 juta jangkitan Covid dan lebih 34,000 kematian, menurut data kementerian kesihatan. – Gambar EPA, 3 Januari, 2023.

PEKERJA kesihatan di Greece yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19, kembali bekerja semalam selepas 16 bulan digantung tugas, kata persatuan pekerja hospital awam.

Kira-kira 2,000 pekerja hospital awam dan perkhidmatan ambulans kembali bekerja selepas Dewan Negara, mahkamah pentadbiran tertinggi di negara itu, memerintahkan kerajaan menarik balik larangan bekerja itu.

Kembalinya mereka bekerja memberikan kelegaan kepada sistem kesihatan, tetapi masalah kekurangan staf masih berlaku, menurut satu kenyataan Persekutuan Pekerja Hospital Awam Panhellenic (POEDIN).

Kira-kira 5,000 pekerja kesihatan tidak vaksin sebelum ini turut dibenarkan kembali bekerja jika mereka mempunyai sijil perubatan menunjukkan sudah dijangkiti virus itu.

Seperti beberapa negara Eropah lain, Greece mengenakan peraturan staf hospital, bilik pembedahan dan rumah penjagaan mengambil suntikan vaksin sepenuhnya, ketika pandemik teruk melanda dunia.

Greece merekodkan lebih 5.3 juta jangkitan Covid dan lebih 34,000 kematian, menurut data kementerian kesihatan.

Kebanyakan sekatan Covid-19 sudah ditarik balik, kecuali di bangunan kesihatan dan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna metro, bas dan tram mengabaikan peraturan memakai topeng pelitup muka. – AFP, 3 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen