LAPAN pemain ragbi Argentina dibicarakan semalam atas tuduhan memukul seorang remaja hingga mati di luar sebuah kelab malam, tiga tahun lalu.
Lapan defendan yang berusia antara 21 dan 23 tahun itu, berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan bersalah.
Mereka sebelum ini ditahan sebelum perbicaraan sejak serangan itu.
Insiden yang mengejutkan negara itu berlaku susulan pergaduhan antara dua kumpulan di dalam sebuah kelab malam di resort tepi pantai yang popular, Villa Gesell pada 18 Julai, 2020, di mana lapan defendan kemudian didakwa menyerang Fernando Baez, 18, selepas mereka dihalau keluar.
Pemain dari kelab Zarate itu didakwa menyerang Baez dari belakang dan kemudian membelasahnya hingga mati.
Imej serangan itu dirakamkan kamera litar tertutup dan menerusi rakaman telefon dibuat salah seorang defendan.
Mereka terus menyerang walaupun mangsa sudah tidak sedarkan diri, menyebabkan kecederaan yang mengakibatkan kematian, kata pendakwa raya Juan Manuel Davilia di sebuah mahkamah di Dolores, 200km dari Buenos Aires.
“Mereka buat keputusan untuk membunuh,” kata peguam keluarga Baez, Fernando Burlando.
Kira-kira 150 saksi dipanggil memberi keterangan, dengan perbicaraan dijangka berlangsung selama tiga minggu.
Serangan itu turut mencetuskan protes di beberapa bandar di negara itu.
Saksi berkata penyerang menjeritkan kata-kata hinaan dan rasis kepada mangsa ketika mereka menyerangnya.
Di negara yang jurang kesaksamaan sosial sangat luas, ragbi adalah permainan yang secara tradisinya disertai dan ditonton oleh golongan kaya. – AFP, 3 Januari, 2023.
Komen