Remaja didakwa serang 3 polis dengan parang di New York


Seorang remaja menyerang tiga pegawai polis di luar zon keselamatan Times Square di mana puluhan ribu warga New York berhimpun untuk sambutan malam Tahun Baharu. – Gambar AFP, 3 Januari, 2023.

SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun yang menyerang pegawai polis menggunakan parang pada malam Tahun Baharu di Manhattan, didakwa semalam atas tuduhan serang dan cubaan bunuh, kata Jabatan Polis New York.

Pertuduhan itu dikenakan terhadap Trevor Bickford yang didakwa menyerang tiga pegawai polis di luar zon keselamatan Times Square di mana puluhan ribu warga New York berhimpun untuk sambutan malam Tahun Baharu.

Tertuduh memukul dua pegawai polis di bahagian kepala, tetapi tidak menyebabkan kecederaan serius, sebelum seorang pegawai polis lain menggunakan senjata untuk mencederakan bahu tertuduh.

Bickford berasal dari Wells, sebuah bandar kecil di Maine, kata polis, tanpa memberikan butiran lanjut.

Menurut media Amerika Syarikat, Bickford sejak akhir-akhir ini sering menunjukkan tanda radikal Islam dan mungkin cuba untuk melakukan serangan bunuh diri.

Beliau membawa sebuah diari di mana beliau meluahkan hasratnya untuk menyertai Taliban Afghanistan dan mati sebagai syahid, kata CNN, memetik sumber.

FBI menyiasatnya pada pertengahan Disember selepas seorang ahli keluarganya memberitahu biro itu berhubung kenyataannya yang berbaur ekstrem, lapor NBC News.

Unit risikan FBI terbabit dalam siasatan itu, kata Ketua Pesuruhjaya Polis New York Keechant Sewell pada sidang media. – AFP, 3 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen