Penyelamat Vietnam giat selamatkan budak jatuh 35 meter dalam lubang konkrit


Pihak penyelamat Vietnam buat masa ini masih belum pasti dengan keadaan semasa budak yang terjatuh dalam lubang konkrit itu, selepas mangsa berhenti berinteraksi walau oksigen telah dipam. – Gambar Facebook, 2 Januari, 2023.

RATUSAN anggota penyelamat di Vietnam bergelut untuk mengeluarkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang terjatuh ke dalam lubang sedalam 35 meter di tapak pembinaan dua hari lepas.

Thai Ly Hao Nam, terjatuh ke dalam batang tiang konkrit berongga selebar 25 sentimeter, tenggelam dalam lubang konkrit itu ketika mengutip besi buruk, kata seorang penyelamat kepada AFP melalui telefon.

“Kami cuba yang terbaik. Kami tidak dapat beritahu keadaan budak itu lagi,” kata penyelamat yang mahu dikenali sebagai Sau.

Menurut laporan media, penyelamat telah mencuba menggerudi dan melembutkan tanah di sekeliling untuk cuba menarik tiang itu ke atas permukaan bagi menyelamatkan Nam.

Pihak berkuasa “tidak pasti tentang keadaan semasa budak itu. Dia telah berhenti berinteraksi walaupun oksigen sentiasa dipam ke dalam” lubang, lapor akhbar Vietnam Tuoi Tre.

Pada Isnin, Perdana Menteri Pham Minh Chinh meminta penyelamat peringkat persekutuan menyertai usaha pihak berkuasa tempatan menyelamatkan budak itu. – AFP, 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen