Kekerasan tidak jamin prestasi cemerlang atlet


SAYA memandang serius insiden seorang jurulatih lelaki dewasa skuad bola tampar perempuan bawah 14 negeri Melaka yang menampar dua pemainnya ekoran prestasi yang tidak memuaskan di sebuah kejohanan di Johor pada bulan Disember lalu.

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dan jika ia menjadi satu budaya dalam mana-mana sukan, ia perlu dihentikan dengan segera.

Kekerasan tidak menjamin prestasi cemerlang seseorang atlet bahkan akan memberikan tekanan kepada atlet tersebut yang akhirnya akan memberikan impak kepada mental beliau.

Sukan adalah satu bidang yang sihat. Kita tidak boleh membiarkan budaya begini menular di dalam bidang sukan. Menjadi adat pertandingan ada kalah dan menang.

Sebagai seorang jurulatih, beliau sepatutnya menerima apa sahaja keputusan dengan terbuka dan menjadikan ia sebagai satu panduan untuk melatih pasukan beliau dan mengenal pasti kelemahan pasukan beliau. 

Jika seorang jurulatih tidak boleh mengawal emosi dan menjadi profesional terhadap anak didik beliau, beliau tidak layak untuk menjadi jurulatih.

Saya berterima kasih atas keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang segera menghubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Siddiq mengenai hal ini. Saya berharap agar tindakan tegas dikenakan ke atas jurulatih ini.

Beliau tidak mempunyai hak untuk mengasari pemain beliau apa lagi pemain itu adalah seorang remaja perempuan bawah umur. – 2 Januari, 2023.

* Young Syefura Othman, ahli Parlimen Bentong merangkap timbalan ketua Pemuda DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen