Rakyat Brazil beri penghormatan terakhir kepada Pele


Seorang remaja mengibar bendera dengan lakaran muka Pele di hadapan replika rumah kelahiran legenda bola sepak dunia itu, di Tres Coracoes. Brazil kini memulakan tiga hari berkabung peringkat kebangsaan sebagai penghormatan terakhir untuk Pele. – Gambar AFP, 2 Januari, 2023.

RAKYAT Brazil dijangka berkumpul di stadium Santos FC bagi memberi penghormatan terakhir buat legenda bola sepak dunia, Pele hari ini.

Stadium yang menjadi rumah kepada pasukan digelar “Peixe” itu – yang bermaksud ikan dalam bahasa Portugis – dijangka penuh dengan kehadiran peminat yang mahu memberikan penghormatan terakhir kepada “Raja” bola sepak itu.

Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun, Khamis lalu akibat menghidap kanser.

Pintu stadium akan dibuka pada 10.00 pagi waktu tempatan. Keranda yang membawa jenazah satu-satunya pemain yang memenangi tiga Piala Dunia itu akan diletakkan di tengah padang.

Stadium Vila Belmiro mempunyai kapasiti 16,000 orang pada satu-satu masa.

Di tempat duduk penyokong, tiga bendera gergasi boleh dilihat, satu dengan imej Pele memaparkan nombor 10 yang terkenal pada jersinya.

Bendera kedua membawa mesej “Hidup raja”; dan yang ketiga tertulis, “Pele 82 tahun.”

Kemasukan ke stadium akan dibenarkan sehingga 10.00 pagi esok, kata pegawai.

Selepas itu, perarakan akan diadakan melalui jalan-jalan di Santos, sebuah bandar pelabuhan kira-kira 75 kilometer dari ibu negeri Sao Paulo.

Perarakan itu akan melalui rumah ibu Pele, Celeste Arantes yang berusia 100 tahun, yang tidak menyedari anak lelakinya meninggal dunia.

“Dia tidak tahu,” kata kakak Pele, Maria Lucia do Nascimento kepada ESPN, Jumaat lalu.

“Dia tidak sedarkan diri.” Perarakan itu akan berakhir di tanah perkuburan di Santos, di mana Pele akan dikebumikan di makam khas. – AFP, 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen