Kembalikan hak urus petroleum kepada Kelantan


TERLEBIH dulu saya bagi pihak Metra ingin mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang diberi amanah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia.

Metra percaya atas semangat dan prinsip keadilan sebenar, Anwar boleh membawa hala tuju baharu kepada Malaysia dari segenap aspek terutama pengurusan ekonomi negara seterusnya membela golongan yang tertindas.

Yang Amat Berhormat Dato Seri,

Melalui kenyataan ini saya  menggesa supaya Dato Seri selaku perdana menteri yang mengetuai Kerajaan Malaysia dan merangkap Pengerusi kepada Petronas iaitu pihak yang mengurus semua sumber gas dan minyak di persisir pantai Kelantan yang bermula pada sekitar tahun 1988 membuka lembaran baru tahun 2023 dengan menilai semula kedudukan Kelantan dalam dua keadaan berikut:

Hak pendaratan gas di pantai Bachok, Kelantan

Umum mengetahui sumber gas di pantai Kelantan dibawa ke selatan Thailand melalui paip untuk diproses di Songkla dan disambungkan ke negeri Kedah.

Perkara ini amat merugikan negeri Kelantan dan menyekat potensi negeri dalam membangunkan industri gas di pantai Bachok.

Rakyat Kelantan juga dinafikan untuk mengaut semua limpahan aktiviti industri ini (spill out effect).

Saya percaya perkara ini berlarutan lama tanpa penyelesaian yang memihak kepada rakyat Kelantan kerana semua formula yang dilaksanakan adalah berasaskan dendam dari perseteruan politik sempit pada masa tersebut dan Dato Seri perlu berlapang dada dengan pilihan rakyat serta tidak perlu menyambung niat songsang ini.

Saya percaya Petronas mempunyai pelbagai pilihan untuk membuat “realignment” dan “reengineering” dalam komponen pengeluaran untuk memastikan kerajaan negeri diberi sumber tenaga bagi keperluan industri dan rakyat Kelantan mendapat manfaat terbanyak dalam perkara ini atas asas sumber gas adalah dari Pantai Kelantan. 

Perkara ini juga selaras dengan penyiapan semua infrastruktur utama seperti lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang antarabangsa, ECRL dan lain yang bakal menjadi enjin penggalak kepada potensi pengembangan industri di pantai timur.

Hak pengurusan telaga minyak di pantai Kelantan

Semua telaga minyak di pantai Kelantan sememangnya diurus oleh Petronas sejak sekian lama. Malangnya bayaran royalti tertunggak sebanyak lebih dari RM20 bilion gagal dibayar sehingga detik ini.

Metra percaya, dalam keadaan kedudukan industri semasa dunia dan rekod  pengeluaran industri dari Petronas serta kedudukan kewangan negara semasa yang terus menyusut, maka pelbagai alasan boleh diberikan untuk menafikan hak kerajaan negeri dan rakyat untuk mendapat bayaran royalti ini.

Justeru, Metra merasakan sudah tiba masanya Dato Seri perlu mempertimbangkan untuk memberikan Kerajaan Negeri hak mengurus sendiri bagi semua atau sebahagian dari telaga minyak dari pantai Kelantan ini sebagai penyelesaian segera daripada kemelut bayaran royalti yang tidak berkesudahan sekian lama.

Saya percaya Kerajaan Negeri mempunyai tenaga pakar untuk mengurus keperluan ini dan perlu membuat persediaan ke arah itu.

Pihak Petronas boleh dirunding untuk menjadi penasihat bagi memulakan industri ini supaya Kerajaan negeri dan rakyat Kelantan akan mendapat manfaat terus dan cepat tanpa menunggu polemik royalti yang panjang tanpa kesudahan.

Metra sangat berharap atas prinsip keadilan sejagat yang menjadi jiwa dan roh baru bagi tata kelola pentadbiran Dato Sri selaku perdana menteri, cadangan ini perlu dipertimbangkan untuk menemui penyelesaian segera dan manfaat berpanjangan bagi kerajaan dan rakyat Kelantan.

Metra juga berdoa supaya Dato Seri sentiasa dilimpahi dengan hidayah dan berkah yang berpanjangan serta diberi maunah dalam melayari bahtera kuasa seterusnya membawa Malaysia yang lebih adil dan gemilang. – 2 Januari, 2023.

* Ariffahmi Ab Rahman, pengerusi Malaysian Executive and Technocrat Alliance (Metra).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen