Tentera maut, cedera insiden letupan di lapangan terbang Kabul


Taliban mendakwa meningkatkan keselamatan sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021 tetapi sering memandang rendah angka korban sekiranya serangan sedemikian berlaku. – Gambar fail EPA, 2 Januari, 2023.

BEBERAPA mangsa maut susulan letupan di pintu masuk ke lapangan terbang tentera di Kabul, Afghanistan, di mana beberapa mangsa yang lain turut cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Abdul Nafy Takor berkata punca letupan di pintu masuk kemudahan itu yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa Kabul masih disiasat.

“Sebilangan rakan kami syahid dan cedera dalam letupan itu,” kata Takor, menambah pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

Seorang penduduk Kabul, Abdul Noor semalam mengesahkan abangnya yang juga pegawai tentera udara terbunuh dalam letupan itu.

“Beliau pernah bekerja dalam kerajaan terdahulu dan juga sebagai pegawai tentera udara.

“Beliau dan beberapa rakannya berada dalam barisan menunggu untuk memasuki lapangan terbang tentera apabila letupan berlaku,” katanya, merujuk kepada kerajaan bekas presiden Ashraf Ghani yang digulingkan dan disokong Barat.

Taliban mendakwa meningkatkan keselamatan sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021 tetapi sering memandang rendah angka korban sekiranya serangan sedemikian berlaku.

Sehingga kini, terdapat beberapa letupan bom dan serangan lain, kebanyakannya didakwa dilakukan oleh kumpulan Daesh tempatan. – AFP, 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen