2 askar Syria maut, lapangan terbang ditutup susulan serangan tentera Israel


Tentera Israel melancarkan serangan peluru berpandu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik dan kawasan sekitarnya, kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan. – Gambar AFP, 2 Januari, 2023.

DUA askar Syria terbunuh manakala operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik digantung susulan serangan peluru berpandu oleh tentera Israel hari ini, lapor agensi berita tempatan SANA, sambil memetik sumber tentera.

Menurut sumber, tentera Israel melancarkan serangan peluru berpandu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik dan kawasan sekitarnya, kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan.

Serangan itu menyebabkan “kematian dua askar… mengakibatkan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik digantung”, kata sumber itu.

Serangan itu menggugat “kedudukan Hizbullah dan kumpulan pro-Iran di dalam lapangan terbang dan sekitarnya, termasuk gudang senjata”, ketua pemerhati hak asasi Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdul Rahman kepada AFP.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel melakukan ratusan serangan udara terhadap jirannya, menyasarkan tentera kerajaan serta askar yang disokong Iran dan pejuang Syiah dari Lubnan, Hizbullah.

Israel jarang mengulas mengenai laporan serangannya, tetapi mereka berulang kali berkata ia tidak akan membenarkan musuh utamanya Iran untuk bertapak di Syria.

Kali terakhir lapangan terbang itu ditutup pada Jun – juga selepas serangan udara Israel.

Serangan udara di Syria pagi tadi berlaku selepas negara yang dilanda perang itu mengalami angka kematian tahunan terendah sejak konflik bermula lebih sedekad lalu.

Sekurang-kurangnya 3,825 orang maut dalam perang Syria pada 2022, menurut angka yang disusun oleh Pemerhati Hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain – turun berbanding 3,882 tahun sebelumnya.

Menurut pemerhati itu, antara yang terbunuh pada 2022 ialah 1,627 orang awam, termasuk 321 kanak-kanak.

Selepas bertahun-tahun pertempuran maut dan pengeboman berikutan penindasan kejam protes antikerajaan 2011, konflik itu sebahagian besarnya reda sejak tempoh tiga tahun lepas. – AFP, 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen