Kementerian Pendidikan siasat murid dilempang jurulatih bola tampar


Kementerian Pendidikan berkata ia memandang serius kejadian itu dan mahu mendapatkan maklumat lanjut daripada ibu bapa pemain terlibat. – Gambar Facebook, 2 Januari, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan akan bertemu dengan ibu bapa murid yang ditampar jurulatih pasukan bola tampar bawah 14 tahun Melaka, seperti insiden yang tular di media sosial semalam.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan berkata ia memandang serius kejadian dan mahu mendapatkan maklumat lanjut daripada ibu bapa pemain terlibat.

“Kementerian juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil,” kata kenyataan itu.

Semalam, Persatuan Bola Tampar Malaysia mengumumkan ia menggantung sementara jurulatih itu sehingga siasatan pihaknya selesai.

Insiden berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember dan jadi perhatian selepas tular di media sosial semalam.

Kejadian dipercayai berlaku semasa perlawanan tempat ketiga dan keempat antara pasukan Melaka dan Johor.

Insiden itu terakam semasa siaran penstriman langsung melalui Facebook.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam reaksi awal semalam kesal atas kejadian yang disifatkannya tidak patut berlaku.

“Ini salah. Saya sudah bercakap dengan (Menteri Pendidikan) Fadhlina Sidek dan kami sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan insiden itu,” katanya.

Fadhlina juga semalam menggesa saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan. – 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen