Tentera Ukraine keluarkan amaran selepas ‘serangan udara’ Russia


Sebuah hotel hampir musnah susulan serangan udara yang dilancarkan tentera Russia terhadap wilayah Kiev di Ukraine ketika ambang tahun baru. – Gambar AFP, 2 Januari, 2023.

SATU amaran berbahaya dikeluarkan kepada penduduk Kiev sejurus selepas “serangan udara” pagi ini, umum pentadbiran tentera bandar itu, dengan datuk bandar menyebut letupan mengakibatkan seorang cedera.

Serangan awal pagi tadi berlaku selepas serangan Tahun Baru oleh Russia yang menyaksikan Kiev dan bandar-bandar lain dihujani peluru berpandu dan dron buatan Iran.

Amaran daripada pentadbiran tentera Kyiv hadir sejurus selepas 1 pagi waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia).

“Serangan udara ke atas Kiev… Amaran udara dihidupkan di ibu negara,” pentadbiran tentera mengumumkan pada aplikasi pemesejan Telegram.

Ketua pentadbiran tentera bandar itu, Serhiy Popko, menyeru orang ramai untuk “tinggal di tempat perlindungan”.

Datuk Bandar Vitali Klitschko melaporkan satu letupan berlaku di daerah Desnyanskyi, timur laut Kiev dan berkata “perkhidmatan kecemasan sedang dalam perjalanan”.

“Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang cedera dimasukkan ke hospital di daerah Desnyanskyi di ibu negara,” katanya sekitar jam 1.20 pagi.

Serangan udara itu mencetuskan sistem pertahanan udara wilayah Kiev, kata Oleksii Kuleba, ketua pentadbiran tentera wilayah tersebut.

“Bahaya berterusan di wilayah Kiev! Pasukan pertahanan udara kami sedang mengusahakan sasaran,” katanya.

“Perkara utama sekarang ialah kekal tenang dan tinggal di tempat perlindungan sehingga penggera dimatikan.”

Pada Sabtu lalu, serangan oleh tentera Russia mengorbankan tiga orang di Kiev dan bandar-bandar lain, dan serangan terbaru Ahad membunuh seorang penduduk di wilayah selatan negara itu, Zaporizhzhia. – AFP, 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen