KERAJAAN Colombia bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama enam bulan dengan lima kumpulan bersenjata terbesar yang masih aktif selepas pakatan damai pada 2016 gagal menamatkan keganasan di negara penuh konflik itu.
Presiden Gustavo Petro yang juga presiden berhaluan kiri pertama Colombia berkata beliau mahukan “kedamaian menyeluruh” di negara itu, sambil mengumumkan gencatan senjata itu di Twitter.
“Kami bersetuju dengan gencatan senjata dua hala dengan ELN, Second Marquetalia, Central General Staff, AGC dan Self-Defense Forces bermula 1 Januari hingga 30 Jun, 2023,” tweet Petro pada Ambang Tahun Baru.
Gencatan senjata yang diisytiharkan “boleh dilanjutkan bergantung kepada kemajuan dalam rundingan.”
Di sebalik pakatan damai yang menyaksikan gerila FARC melucutkan senjata pada 2017, kumpulan bersenjata kekal terperangkap dalam pertikaian berhubung hasil pengedaran dadah dan perniagaan haram lain, menurut Institut Pembangunan dan Kajian Keamanan (Indepaz).
Indepaz adalah badan pemikir bebas.
Colombia adalah pengeluar kokain terbesar di dunia.
Kerajaan, dalam satu kenyataan Ahad, berkata gencatan senjata itu akan dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pejuang hak asasi manusia Colombia dan Gereja Katolik.
Rundingan damai digantung ketika pentadbiran kerajaan Ivan Duque (2018-2022), tetapi Petro menyambung semula rundingan sejurus selepas memegang jawatan presiden pada 7 Ogos tahun lalu.
Setakat ini, rundingan dengan pelbagai kumpulan bersenjata – dengan jumlah gabungan lebih 10,000 pejuang – gagal menamatkan lingkaran keganasan yang melanda negara itu.
Indepaz merekodkan hampir 100 pembunuhan beramai-ramai tahun lalu.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengalu-alukan perkembangan itu sebagai “membawa harapan baharu untuk keamanan menyeluruh kepada rakyat Colombia ketika Tahun Baru,” kata jurucakapnya Stephane Dujarric. – AFP, 2 Januari, 2023.
Komen