Lula kembali menjadi presiden Brazil


Luiz Inacio Lula da Silva berjaya memegang jawatan presiden Brazil untuk penggal ketiga dan berikrar memperjuangkan golongan miskin dan alam sekitar. – Gambar EPA, 2 Januari, 2023.

LUIZ Inacio Lula da Silva berjaya memegang jawatan presiden Brazil untuk penggal ketiga dan berikrar memperjuangkan golongan miskin dan alam sekitar, malah membina semula negara selepas pentadbiran pemimpin sayap kanan, Jair Bolsonaro cuba memecahbelahkannya.

Veteran sayap kiri berusia 77 tahun itu, yang sebelum ini mengetuai Brazil dari 2003 hingga 2010, membuat kemunculan semula selepas kontroversi dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Kongres.

Lula berkata kerajaannya akan berusaha untuk membatalkan legasi kemerosotan ekonomi, pemotongan pembiayaan dalam kesihatan, pendidikan dan sains, dan ‘kebodohan’ merompak sumber negara untuk kepentingan peribadi.

“Di atas runtuhan yang dahsyat ini, saya berjanji untuk membina semula negara bersama rakyat Brazil.

“Mandat yang kami terima, dalam menghadapi penentang yang diilhamkan fasisme, akan dipertahankan melalui perlembagaan demokrasi kami. Kami akan membalas kebencian dengan cinta, pembohongan dengan kebenaran, keganasan dengan undang-undang,” katanya.

Beliau turut berikrar berjuang memperbaiki kehidupan rakyat Brazil yang miskin, berusaha ke arah kesaksamaan kaum dan jantina, dan mencapai sifar penebangan hutan di hutan hujan Amazon, di mana kemusnahan meningkat di bawah kepimpinan Bolsonaro.

Memakai sut dan tali leher biru, Lula yang penuh kontroversi tiba pada majlis itu dengan kereta Rolls-Royce serta diiringi isteri Rosangela Janja da Silva dan Naib Presiden Geraldo Alckmin.

Angkat sumpah bermula dengan penghormatan senyap seminit sebagai memperingati legenda bola sepak Brazil, Pele dan bekas pope Benedict XVI, yang kedua-duanya meninggal dunia beberapa hari lalu.

Berpuluh-puluh ribu penyokong berpakaian merah bersorak kuat ketika mereka berarak secara perlahan turun ke Esplanade Kementerian Brasilia, dengan diiringi berpuluh-puluh pengawal peribadi. – AFP, 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen