PULUHAN ribu pelancong terkandas di lapangan terbang Filipina semalam selepas ratusan penerbangan dibatalkan, ditangguhkan atau dialihkan, berpunca daripada gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan peralatan komunikasi dan radar terputus di Manila.
Pihak berkuasa penerbangan mengesan isu teknikal pada pagi semalam membabitkan pusat pengurusan trafik udara di lapangan terbang domestik dan antarabangsa Manila.
Lebih 360 penerbangan keluar masuk dari Manila dibatalkan, dialihkan atau ditangguhkan dan menjejaskan kira-kira 56,000 penumpang.
Gangguan melanda apabila orang ramai mula kembali ke ibu negara untuk bekerja dan bersekolah selepas cuti Krismas dan Tahun Baharu.
Kekecohan berlaku di kaunter daftar masuk di seluruh negara apabila beribu-ribu orang cuba menempah semula tiket atau mencari masa penerbangan mereka yang mungkin sudah berlepas.
Mereka yang menaiki pesawat sebelum gangguan itu juga diarahkan menunggu berjam-jam sebelum diturunkan.
Pegawai lapangan terbang pada mulanya tidak menyatakan punca masalah itu.
Bagaimanapun, Setiausaha Jabatan Pengangkutan Jaime Bautista berkata pusat pengurusan trafik udara, yang mengawal penerbangan keluar masuk terpadam disebabkan gangguan bekalan elektrik yang mengakibatkan kehilangan komunikasi, radio, radar dan internet.
“Masalah kedua ialah lonjakan kuasa akibat gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan peralatan,” katanya.
Pihak berkuasa lapangan terbang berkata sistem pengurusan trafik udara sudah dipulihkan sebahagiannya pada 4 petang waktu tempatan dan penerbangan mula berlepas dan mendarat di Manila.
“Kelewatan dan pengalihan penerbangan hanyalah langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat,” kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina. – AFP, 2 Januari, 2023.
Komen