SERAMAI 14 banduan maut manakala 24 lagi melarikan diri selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah penjara di bandar Ciudad Juarez di utara Mexico semalam.
Pejabat pendakwa raya negeri Chihuahua dalam satu kenyataan berkata lelaki bersenjata yang tidak diketahui berada dalam kenderaan berperisai dikesan melakukan serangan itu, manakala mangsa yang maut termasuklah 10 pengawal penjara dan ejen keselamatan.
Katanya, serangan itu berlaku sekitar 7 pagi (waktu tempatan) dan mencetuskan pergaduhan antara banduan di dalam penjara negeri yang luas itu.
Tambahnya, beberapa saat sebelum serangan, lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah polis di sepanjang jalan berhampiran sehingga mereka dikejar sebelum berakhir dengan rampasan kenderaan dan penahanan empat lelaki.
Selepas itu, penyerang menggunakan Hummer melepaskan tembakan ke arah satu lagi kumpulan ejen keselamatan di luar penjara.
Pendakwa raya berkata pertempuran berlaku di dalam penjara, di mana banduan terdiri daripada kumpulan jenayah dan kartel dadah berbeza ditempatkan di sel berasingan, dan turut menyebabkan 13 cedera.
Pendakwa raya berkata empat sudah ditahan tetapi tidak mengesahkan sama ada mereka banduan atau penyerang bersenjata.
Butiran lanjut masih belum tidak tersedia mengenai bagaimana 24 banduan yang melarikan diri itu dapat melarikan diri.
Ciudad Juarez adalah lokasi pertempuran ganas selama bertahun-tahun antara Sinaloa dan kartel dadah Juarez serta pasukan keselamatan, yang menyebabkan beribu-ribu orang mati dalam berdekad lalu. – AFP, 2 Januari, 2023.
Komen