Beribu-ribu terkandas di lapangan terbang Filipina kerana bekalan elektrik terputus


Penumpang melihat skrin yang menunjukkan maklumat penerbangan di terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy di Pasay, Metro Manila. – Gambar AFP, 1 Januari 2023.

PULUHAN ribu pelancong terkandas di lapangan terbang Filipina pada Ahad selepas gangguan bekalan elektrik menyebabkan peralatan komunikasi dan radar terputus di hab tersibuk negara itu di Manila, memaksa ratusan penerbangan dibatalkan, ditangguhkan atau dialihkan.

Pihak berkuasa penerbangan mengesan “isu teknikal” pada pagi Ahad membabitkan pusat pengurusan trafik udara di lapangan terbang domestik dan antarabangsa Manila.

Lebih 360 penerbangan masuk dan keluar dari Manila dibatalkan, dialihkan atau ditangguhkan, menjejaskan kira-kira 56,000 penumpang.

Gangguan itu melanda ketika orang ramai mula kembali ke ibu negara untuk bekerja dan bersekolah selepas cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Berlaku kekecohan di kaunter daftar masuk di seluruh negara apabila beribu-ribu orang cuba menempah semula tiket atau memeriksa jadual penerbangan mereka.

Bagi yang sudah menaiki pesawat mereka sebelum gangguan itu diumumkan menunggu selama berjam-jam sebelum mereka diturunkan.

Pegawai lapangan terbang pada mulanya tidak menyatakan punca masalah itu.

Namun setiausaha jabatan pengangkutan Jaime Bautista berkata pusat pengurusan trafik udara, yang mengawal penerbangan masuk dan keluar, “tidak berfungsi” disebabkan gangguan bekalan elektrik yang mengakibatkan komunikasi, radio, radar dan internet terhenti.

“Masalah kedua adalah lonjakan kuasa akibat gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan peralatan,” katanya.

Pihak berkuasa lapangan terbang berkata sistem pengurusan trafik udara dipulihkan sebahagiannya pada jam 4 petang waktu tempatan dan penerbangan mula berlepas dan mendarat di Manila. – AFP, 1 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen